AKSI ‘top of the table clash‘ antara Sabah FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sememangnya menjadi bualan penyokong Sabah yang dilihat banyak membincangkan tentang perlawanan ini sama ada di media sosial atau ketika sedang minum kopi.
Menurut seorang penyokong setia Sabah FC yang dikenali sebagai Bam Beckham, dia mempunyai pendapat dan pandangan tersendiri jika Sabah FC benar-benar serius mahu menewaskan JDT.
Ketika ditemubual secara eksklusif oleh FLASH SUKAN, Bam Beckham yakin bahawa Sabah boleh mencabar kekuatan pasukan JDT jika kena pada taktik dan formasi yang dicorak oleh jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.
Selain itu, Bam Beckham yang berasal dari Sandakan ini juga mahu Sabah supaya tidak bermain secara bertahan kerana ianya pasti membahayakan pasukan tetapi para pemain harus mencuba untuk melumpuhkan usaha serangan JDT jauh dari kotak penalti hingga mereka mati akal.
“Bermainlah secara serangan sekali-sekala. Selain dari menggunakan serangan balas pantas, Sabah boleh menyerang menggunakan sayap kiri dan kanan menerusi Taiki Kagayama dan Saddil Ramdani.
“Untuk bahagian serangan pula, saya berpendapat lebih baik Amri Yahyah dikerahkan sebagai penyerang utama berbanding pemain import baharu baru Sabah, Jose Embalo.
“Apa yang paling penting adalah supaya Park Tae Su bermain di posisi pemain tengah bertahan. Satu keruguan sekiranya dia diletakkan sebagai pertahanan. Ini kerana ‘work rate‘ nya yang tinggi dalam membantu bahagian pertahanan dan juga ketika menyerang.
“Ini amat diperlukan bagi menyaingi penguasaan JDT terutama di bahagian tengah. Park juga pantas mengintai peluang dan mempunyai hantaran-hantaran yang baik dan dia juga bergandingan baik bersama-sama Gary Steven Robbat untuk menyekat kemaraan pemain tengah lawan.
“Saya juga berharap agar Baddrol Bakhtiar dapat diberikan peranan ‘free role‘ dan bukannya diletakkan langsung di belakang penyerang kerana ia akan mengehadkan kebolehannya membuat hantaran,” jelas Bam Beckham penuh bersemangat.
Bam Beckham atau nama sebenarnya Sh Ismail Alif Sh Abd Rahman juga menjangkakan Sabah FC akan turun dengan formasi 4-1-4-1 dan meramalkan keputusan akan memihak kepada pasukan tuan rumah 2-1.