JOHOR Darul Ta’zim (JDT) hadir ke Stadium Likas sebagai pasukan pilihan untuk pertemuan Liga Super dan setiap pemain dilihat sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik.

Kehadiran JDT ke Likas juga turut disambut dengan teruja oleh para penyokong apabila semua tiket telah habis terjual seminggu lebih awal dari tarikh perlawanan sekaligus akan mewujudkan atmosfera yang menakjubkan.

Selain memberikan sokongan kepada The Rhinos, penyokong-penyokong juga tidak mahu ketinggalan untuk menyaksikan dengan lebih dekat aksi JDT selaku juara Liga Super lapan kali berturut-turut yang dibarisi ramai pemain bintang dan juga pemain kebangsaan.

JDT akan turun untuk mempertahankan tiga rekod yang dipegang ketika ini iaitu tanpa kalah dalam Liga Super setakat ini, tanpa kalah terpanjang di tempat lawan dan juga rekod tanpa kalah menentang Sabah FC.

JDT kini sudah melebarkan rekod tanpa kalah di tempat lawan kepada 40 perlawanan yang dicipta bermula pada Mac 2018 dan juga sudah mencatat enam kemenangan dalam enam pertemuan ketika menentang Sabah FC juga sejak 2018.

Di atas kertas, sememangnya JDT dilihat sebagai pasukan pilihan untuk perlawanan ini tetapi Sabah FC sudah berubah di bawah kendalian ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang dilihat mampu memberikan saingan kepada JDT.

Perlawanan 90 minit ini dijangka akan memberikan aksi yang sengit dari kedua-dua pasukan kerana JDT pastinya mahu mengekalkan ketiga-tiga rekod ini manakala Sabah mahu menjadi pasukan pertama yang memecahkan kesemua rekod cemerlang milik JDT.

Dengan barisan pemain yang berkualiti JDT dijangka dapat melepasi halangan Sabah FC tetapi dalam bola sepak, apa pun boleh terjadi dan mungkin Sabah FC mampu melakar kejutan yang tidak disangka-sangka.

All the best‘ untuk kedua-dua pasukan.