KEMENANGAN ke atas lawan sama dalam kempen Piala FA bukan alasan untuk Terengganu FC (TFC) mengambil mudah cabaran Kedah Darul Aman FC (KDA) pada aksi Liga Super, Jumaat malam.
Pengendali TFC, Nafuzi Zain, berkata, anak-anak buahnya tidak boleh memandang sebelah mata kekuatan KDA FC yang pastinya turun dengan misi membalas dendam.
Menurut jurulatih berusia 44 tahun itu, barisan pemain TFC diingatkan agar kekal fokus untuk 90 minit permainan dan tidak terbawa-bawa dengan corak permainan pasukan lawan.
“Kejohanan yang berbeza namun Kedah masih pasukan sama, sebuah pasukan yang baik dan lengkap di semua posisi dan misi TFC juga sama iaitu meraih tiga mata.
“Kedah tahu gaya permainan kami dan kami juga tahu gaya permainan Kedah. Apa yang penting kami ambil peluang selain mendapatkan gol awal dan beraksi seperti dirancang.
“Pemain tidak boleh bersikap selesa kerana Kedah merupakan pasukan yang baik dan antara pencabar kejuaraan Liga Super,” jelasnya ketika ditemui pada sesi latihan TFC.
Selain itu, Nafuzi berharap perlawanan malam esok berjalan lancar tanpa layangan kad merah kepada pemainnya seperti dialami pemain pertahanan, Pape Diakite ketika aksi Piala FA, minggu lalu.
Katanya, beraksi dengan 10 pemain hanya akan menyukarkan TFC dalam misi membaiki kedudukan dalam liga selain boleh dihukum KDA yang sudah tentu turun dengan misi membalas dendam.
“Pemain-pemain tahu beraksi dengan 10 orang cukup sukar dan sudah melaluinya sebelum ini. Malah kami hampir menderita gara-gara layangan kad merah dan saya harap ianya tidak berulang,” tambahnya.