CHELSEA dilaporkan sudah ‘tawar hati’ mendapatkan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo selepas pemilik baharu Todd Boehly berbincang dengan pengendali, Thomas Tuchel.
Sebelum ini spekulasi Ronaldo akan berkelana ke Chelsea merupakan topik yang hangat diperkatakan.
Chelsea dikaitkan dengan Ronaldo kerana pemilik The Blues yakin dengan kemampuan permata Portugal itu, namun Tuchel melihat kehadiran Raheem Sterling dari Manchester City sudah cukup untuk menambahkan ketajaman jentera serangannya.
Dari sudut lain, pengendali Manchester United, Erik Ten Hag juga enggan melepaskan penyerang tersebut meskipun kontraknya hanya berbaki 12 bulan. Bintang sensasi Red Devils itu juga dilaporkan tidak bersama pasukan dalam jelajah pra musim di Thailand dan Australia.
Sementara itu, Cristiano Ronaldo disahkan telah menolak tawaran sebanyak 275 juta Euro daripada kelab Arab Saudi yang enggan nama pasukan itu didedahkan.
Desas-desus itu selepas kelab Arab Saudi tersebut sebelum ini berminat mendapatkan khidmat penyerang tersebut dengan yuran perpindahan yang sangat tinggi.