BUDAK belakang tiang gol, Boys of Straits hadir ke Kota Kinabalu bagi memberikan sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super menentang Sabah di Stadium Likas malam ini.

Perlawanan yang menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak tempatan ini sudah bersedia untuk ditempa dalam sejarah sebagai perlawanan ‘top of the table clash‘ paling hangat untuk musim 2022.

Boys of Straits atau lebih dikenali sebagai BOS sememangnya terkenal dengan ‘chanting‘ dan sorakan yang bersemangat walau di mana pun JDT beraksi baik di dalam negara mahupun di luar negara.

Untuk perlawanan bertemu Sabah malam ini, kira-kira 40 orang komrad BOS datang ke Likas ditambah pula dengan penyokong JDT lain yang tinggal di sekitar Kota Kinabalu malah ada juga yang datang dari serata negara.

Pertemuan Flash Sukan dengan Boys of Straits di Kota Kinabalu memperlihatkan mereka cukup bersemangat dengan seragam hitam dan drum untuk membawa nama penyokong JDT dan juga meluaskan kuasa ke Negeri Di Bawah Bayu.

Meskipun tidak ramai namun mereka tetap ada dan membuktikan kesetiaan kepada JDT dan mereka hanya mahu berkongsi kegembiraan dan keterujaan bersama-sama penyokong Sabah yang lain di dalam stadium.

Mereka berharap agar JDT dapat mencapai kemenangan seperti mana biasa tetapi tetap sedar bahawa Sabah bukanlah lawan yang mudah kerana dibarisi pemain dan jurulatih yang cukup berpengalaman.

BOS juga berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada penyokong yang memenuhi Stadium Likas pada malam ini dan berharap satu permainan yang menarik akan ditampilkan oleh kedua-dua pasukan serta JDT tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Semangat penyokong begini lah yang seharusnya dibanggakan oleh semua pihak yang terlibat dalam bola sepak tempatan kerana mereka hadir membawa jiwa yang besar buat pasukan kerana sedar tanpa penyokong, bola sepak tiada ertinya.