SEBANYAK RM787 juta ditetapkan untuk kos baikpulih semula Stadium Shah Alam, menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung FB Live Majlis Penyerahan Surat Niat Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam pada Jumaat.
“Kalau lihat faktor sejarah kita minat untuk mengekalkan tapi kos refurbish ambil RM700 juta. Stadium ini dibina dengan kos RM400 juta, maknanya sekali ganda untuk refurbish.
“Saya tidak menolak untuk membangunkan (roboh) semula stadium ini dengan kapasiti dan kemudahan yang sesuai.
“Kalau tanya saya, saya lebih convince untuk membangunkan semula stadium tersebut. Bulan September nanti kita akan ada kata putus (kos). Kita tak nak kos terlalu tinggi dan akhirnya membebankan.
“Saya nak beritahu segala kos akan dibangunkan semula syarikat swasta dan tidak melibatkan pihak kerajaan negeri,” katanya yang merujuk Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sebelum setiap keputusan dibuat.
Terdahulu, kerajaan negeri hari ini menyerahkan surat niat (LOI) kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bagi cadangan pembangunan baharu Stadium Shah Alam.
Penyerahan LOI dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim kepada Naib Presiden Eksekutif MRCB Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan sambil disaksikan Amirudin.
Dalam pada itu, Amirudin yang pernah bergelar pengurus pasukan Merah Kuning menjangkakan pembinaan semula stadium baharu itu dijangka siap pada 2025 atau selewat-lewatnya 2026.
“Pasukan Red Giants akan kembali ke sana apabila siap kelak,” katanya.
Esok genap 28 tahun usia stadium berkenaan yang dirasmikan pada 16 Julai 1994.
Dalam tempoh itu, pelbagai acara antarabangsa besar diadakan seperti Piala Dunia Remaja 1997, final Piala Malaysia, Sukan Malaysia (SUKMA) 1998 dan ketika negara muncul tuan rumah Sukan SEA 2017.
Bagaimanapun, kejadian banjir pada tahun 2006, 2015 dan terbaru 2021 menenggelamkan sebahagian dan merosakkan bilik persalinan, gimnasium, pendawaian elektrik, perpaipan dan lain-lain.