MALAYSIA B-19 kembali bergelar juara Piala AFF Bawah 19 tahun (B-19) 2022 apabila menewaskan Laos B-19, 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi, sebentar tadi.

Turun dengan reputasi selaku pasukan pilihan, kem negara tidak menunggu lama membuka akaun jaringan menerusi Faiz Amer Runnizar minit ke-14.

Beraksi permukaan padang yang agak teruk akibat hujan lebat, kedua-dua pasukan selepas itu saling berbalas serangan namun tiada tambahan gol sehingga tamat babak pertama.

Penguasaan bola serta beberapa percubaan tepat pemain Malaysia ke gawang lawan akhirnya menjelmakan jaringan kedua menerusi gol Aliff Izwan Yuslan m-77.

Ini adalah kejuaraan kedua Malaysia sepanjang kejohanan selepas menyandangnya pada edisi 2018. Ketika itu, Harimau Malaya B-19 menang 4-3 ke atas Myanmar.

Untuk rekod, Malaysia B-19 mencapai ke final dalam empat edisi berturut-turut iaitu bermula tahun 2017, 2018, 2019 dan 2022.

Kejohanan 2020 dan 2021 ditiadakan kerana pandemik COVID-19 yang melanda dunia.