ATLET powerlifting negara, Jong Yee Khie terpaksa menarik diri ke Sukan Komanwel 2022 Birmingham berikutan masalah kecederaan yang dialami ketika menjalani latihan.
Menurut kenyataan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), keputusan penarikan diri itu dibuat selepas mendapat pengesahan tahap kecederaan daripada Institusi Sukan Negara (ISN).
“Penarikan diri Jong Yee Khie disebabkan kecederaan yang berlaku semasa menjalani latihan persiapan ke temasya Sukan Komanwel.
“Susulan daripada penarikan diri beliau, bilangan atlet dalam Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel XXII Birmingham 2022 adalah seramai 105 orang,” jelas satu kenyataan MOM.
Sebagai rekod, Yee Khie adalah pemenang pingat perak dalam kategori 107 kilogram lelaki pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai Ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada tahun 2021.