PENYOKONG Kedah Darul Aman (KDA) FC disarankan supaya lebih berhemah dalam melontarkan kata-kata atau tulisan berbentuk kritikan yang negatif di media sosial.

Penjaring terbanyak Liga Jordan, Ronald Ngah Wanja jadi sasaran melulu segelintir peminat KDA FC yang berang berikutan aksi tidak konsisten disajikan pada permulaan musim.

Ngah Wanja, 30 dibeli untuk mengetuai jentera skuad Sang Kenari bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim ini.

Segala komentar liar beberapa minggu sebelum pertemuan dengan Penang FC lenyap seketika apabila Ngah Wanja menyumbat dua gol membantu kemenangan pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak.

“Semua orang perlu faham dia baharu beraksi dengan pasukan ini dan perlu bersabar. Walaupun berlaku banyak perubahan dalam pasukan kita masih mampu berada di kelompok atasan Liga Super.

“Penyokong harus bersabar dengan membantu perkembangan Liga Malaysia dengan komen positif dan bukannya negatif,” kata Aidil.

Ngah Wanja pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Cameroon pada 2016 dan membuktikan kewibawaan apabila meledak 15 gol bersama kelab Al-Salt dalam kempen liga musim lalu membantu kelab berkenaan menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Sentuhan dan bisa Ngah Wanja dijangka ditagih lagi oleh Aidil menjelang aksi pada Ahad ketika kunjungan ke Likas bertemu pasukan tangga ketiga, Sabah FC yang mengutip sembilan mata.

Kedua-dua pasukan dibezakan tiga mata sambil KDA FC berpeluang memintas Johor Darul Ta’zim jika meraih kemenangan berikutan penglibatan pendahulu liga itu dalam kempen Liga Juara-Juara Asia di Iskandar Puteri, Johor.