KEJAYAAN pasukan Bawah 19 Tahun (B-19) Negara menjuarai Piala AFF B-19 Tahun di Indonesia berjaya menutup mulut pengkritik-pengkritik yang lantang menutup peluang skuad ini sebelum sepak mula berlangsung lagi.

Tidak ada sebarang ruang dan peluang diberikan malah terus menerus mengkritik seakan-akan pemain dan pegawai yang terpilih tidak mempunyai kelayakan untuk mewakili negara dalam pertandingan ini.

Tetapi seperti biasa selepas bergelar juara, berduyun puak yang muncul untuk mengambil kredit atas kejayaan ini tetapi tidak ada satu wakil pun yang menyambut di lapangan terbang kecuali pihak media dan keluarga.

 

Tangisan ketua jurulatih, Hassan Sazali Waras ketika ditemubual media jelas menunjukkan dia terkesan dengan segala kritikan yang dilemparkan tetapi dalam masa yang sama ianya adalah tangisan kepuasan kerana berjaya membuktikan wibawanya sebagai jurulatih yang berjaya dan mampu bergelar juara.

Kritikan yang dilemparkan bukan sahaja kepada barisan pengurusan pasukan, sebaliknya pemain-pemain turut terkena tempias dengan kata-kata yang tidak sepatutnya dilemparkan. Namun dengan matang mereka menukar semuanya menjadi semangat dan keyakinan untuk muncul juara.

Pasukan Malaysia juga meraikan kegembiraan berganda apabila kapten pasukan Aysar Hadi Mohd Shapri dinobatkan sebagai Pemain Terbaik final Piala AFF B-19 2022.

Memang seakan berbunyi ‘klise’ tetapi hakikatnya penggiat dan penggemar sukan terutama bola sepak perlu dan terus memberi masa proses pembangunan untuk mengumpul sebuah pasukan yang sempurna seterusnya memberi hasil kejayaan bukan hadir dengan mudah. Tidak ramai yang tahu akan keadaan di belakang tabir dan tekanan pemain serta pegawai menghadapi cabaran dalam pertandingan.

Realitinya, bukan mudah untuk bermain enam permainan dalam masa sepuluh hari dengan format karnival. Cubalah tanya mana-mana pemain bola sepak profesional pastinya mereka juga akan mempunyai pendapat yang sama.

Contoh yang baik dari para penyokong Indonesia dan Laos perlu diambil secara positif. Lihat bagaimana mereka bersatu dan kekal positif menyokong pasukan mereka meskipun tidak mampu muncul juara.

Jika kejayaan pasukan senior layak ke Piala Asia 2023 telah mendapat perhatian hingga ke jemaah menteri dan akan diberikan imbuhan, bagaimana pula dengan skuad muda ini. Diharap ada konsistensi dalam memberikan penghargaan buat para pemain ini.

 

 

Akhir kata, tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tahniah kepada barisan kejurulatihan, tahniah kepada para pegawai dan pemain. Ucapan tahniah juga diberikan kepada keluarga mereka dan juga kepada mereka yang sentiasa percaya kepada skuad muda ini. Kejayaan ini adalah milik semua.