MD Izzat Zaidi Md Salehan menamatkan kemarau kemenangan sejak 2015 setelah melakar kemenangan buat pasukannya PETRONAS Spinta Yamaha – CKJ Racing di pusingan kelima Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, musim ke-29 yang berlangsung di Litar Jempol pada Ahad.

Pelumba CP150 yang berasal dari Selangor telah mencatatkan masa terpantas di sesi perlumbaan akhir apabila melengkapkan kesemua 20 lap tersebut dengan kelajuan yang konsisten sepanjang perlumbaan.

Izzat yang telah memulakan perlumbaan di petak grid pertama tidak memberikan peluang kepada pelumba-pelumba lain untuk mengambil tempatnya di P1.

“Saya berasa amat gembira kerana akhirnya berjaya mendapat tempat pertama di podium.

“Bagi saya, perlumbaan ini telah berjalan dengan agak lancar. Afif telah banyak membantu dalam perlumbaan kali ini dan saya amat berterima kasih kepada beliau dan pasukan saya untuk kemenangan ini,” katanya mempertahankan kedudukannya di tempat pertama sepanjang perlumbaan.

Pada pusingan lepas, Izzat telah mengambil tempat ketiga secara keseluruhan.

Tempat kedua menjadi milik Azroy Anuar Hakeem dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu apabila menamatkan perlumbaannya dengan catatan masa 14’50:015s manakala ketiga dihuni Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing), 14’51:180s.