PRESIDEN Persekutuan Tinju Malaysia, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli mengakui Sukan Komanwel 2022 Birmingham merupakan pendedahan terbaik bagi atlet-atlet tinju negara.
Malah beliau menyifatkan ianya merupakan satu kejayaan luar biasa andai kata petinju negara dapat mara ke separuh akhir semasa beraksi di temasya yang bakal membuka tirainya hujung bulan ini.
“Komanwel ini satu adalah pendedahan yang mereka bermain di peringkat antarabangsa. Saya menjangkakan kalau mereka mara ke separuh akhir ia adalah kejayaan yang besar,” ujarnya kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN pada Isnin.
Sementara itu, perbincangan awal telah dilakukan bagi mencadangkan beberapa nama yang bakal beraksi di Sukan SEA 2023 Kemboja dan Sukan SEA 2025 Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan secara rasmi nama petinju kerana dikhuathiri akan ada perubahan dari senarai akhir nama yang akan ke temasya dwitahunan itu.
“Buat atlet podium kita dan juga atlet pelapis untuk Sukan SEA di Kemboja pada Mei tahun depan dan Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.
“Kita mencadangkan untuk atlet podium tiga nama, untuk sementara sebab Disember ini kita ada lagi mesyuarat JKK. Untuk pelapis kita ada empat atlet yang kita kekalkan,” kongsinya.
Kesemua senarai nama yang akan ke Sukan SEA 2023 dan 2025 bakal dimuktamadkan adalah selepas meneliti prestasi mereka semasa di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukma 2022.