PERSEORANGAN badminton lelaki para negara, Cheah Liek Hou merangkul kejuaraan ke-11 selepas menjuarai Kejohanan Badminton Para 4 Negara Antarabangsa 2022 di Dublin, Ireland.

Liek Hou, yang diletakkan sebagai pilihan utama bermain dalam kategori SU5 (cacat fizikal), benar-benar berada dalam prestasi sensasi apabila hanya mengambil masa 39 minit untuk menundukkan pemain pilihan kedua Jepun, Taiyo Imai, 21-17, 21-16, dalam perlawanan akhir.

“Ke-11 geng. Menang 56 kali berturut-turut. Harap boleh cipta rekod lebih banyak kemenangan lagi,” katanya menerusi Facebook pada Isnin.

Bukan itu sahaja, penyandang juara paralimpik itu turut merangkul kejuaraan kedua dalam kejohanan itu, kali ini bersama gandingannya, Muhamad Faris Ahmad Azri, selepas mengungguli kumpulan dalam acara beregu lelaki.

Pada perlawanan pertama, Muhamad Faris-Liek Hou mengalahkan Gullaume Gailly-Mathieu Thomas dari Perancis, 21-9, 21-10 diikuti dengan kemenangan kedua ke atas Nilesh Balu Gaiwad-Manoj Sarkar dari India, 21-6, 21-16.

Muhamad Faris-Liek Hou kemudian mengesahkan kejuaraan selepas mereka mengetepikan pencabar terdekat mereka, Chirag Baretha-Hardik Makkar, juga dari India, 21-19, 21-17.

Walaupun memenangi satu lagi kejuaraan di Ireland, pemain nombor satu dunia itu mengakui tidak mahu terbawa-bawa dengan pencapaiannya di sana kerana meletakkan sasaran untuk ‘menggegarkan’ Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo (Surakarta), Indonesia dari 30 Julai hingga 6 Ogos.