PELUMBA negara, Syarifuddin Azman menamatkan perlumbaan kedudukan kedua di pusingan lima Kejuaraan Dunia JuniorGP (JrGP) FIM 2022 di Litar Autodromo Algarve, Portugal.
Dengan berbaki lagi tiga pusingan, Syarifuddin Syarifuddin yang mesra di sapa Damok kini mengumpul 97 mata untuk pasukan SIC Racing.
Bermula di petak kedua, Damok menamatkan perlumbaan di belakang rakan sepasukannya, Jose Rueda dari Sepanyol.
Tempat ketiga menjadi milik seorang lagi pelumba Sepanyol, Adrian Cruces yang menggunakan jentera KTM.
Bagaimanapun, nasib tidak memihak seorang lagi pelumba negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril apabila sekadar mengakhiri perlumbaan di tangga ke-18.
Perlumbaan seterusnya akan diadakan di Misano, Itali pada September manakala Aragon dan Ricardo Tormo berlangsung di Sepanyol pada Oktober.