PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah menjadi pemain pertama yang berjaya menjaringkan lima gol menentang Manchester dalam satu musim di Liga Perdana Inggeris.

Pemain sensasi ini menjaringkan hatrik pada Oktober apabila Liverpool membelasah Manchester United 5-0 dalam pertemuan di Old Trafford yang menyaksikan keputusan paling dominan dalam sejarah perseteruan kedua-dua kelab.

Selepas meledak hatrik, Salah menjaringkan dua lagi gol berselang 177 hari kali ini menerusi kemenangan 4-0 di Anfield sekaligus menjadikan Liverpool menang dengan sembilan gol tanpa balas musim ini.

Selain daripada menjaringkan dua gol, Salah juga berjaya mencipta bantuan jaringan apabila membantu Luis Diaz untuk menjaringkan gol pertama Liverpool pada minit kelima.

Tambah menarik, Salah juga mencipta bantuan jaringan pada minit kelima ketika aksi di Old Trafford apabila hantaran beliau disudahkan oleh Naby Keita untuk gol pertama.

Salah juga muncul pemain kedua dalam sejarah Liga Perdana menjaringkan dua gol dan mencipta dua bantuan jaringan ketika bertemu skuad Red Devils dalam satu musim yang sama.

Salah yang kemarau jaringan sejak tewas di final AFCON akhirnya menemui kembali sentuhan jaringannya dan seperti biasa beliau dilihat mudah menjaringkan gol ketika menentang Manchester United sejak kehadirannya di Anfield. Sememangnya Salah adalah mimpi ngeri buat pasukan dan penyokong Manchester United.