SAINGAN Liga Super musim ini bakal sampai ke penghujung pertengahan Oktober ini.

Namun apa yang pasti Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi dan lagi bakal mengangkat trofi kejuaraan buat kali kesembilan.

Pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui tahun yang gemilang buat JDT di atas kejayaan daripada pasukan senior hingga ke pasukan junior, namun musim 2022 masih belum tamat.

“Kelab ini akan terus berusaha untuk mencapai lebih kejayaan, dan kami memerlukan sokongan daripada semua di dalam Keluarga JDT — pengurusan, barisan kejurulatihan, para pemain, staf dan penyokong untuk menyempurnakan musim ini dengan lebih bergaya.

“Kita telah pun memenangi sembilan trofi setakat ini dalam tahun 2022, dengan Akademi JDT menyumbang tujuh darinya, termasuk JDT III memenangi Piala Presiden (B-21) buat pertama kalinya. JDT II pula boleh dinobatkan sebagai juara Liga Premier Jumaat ini.

“Pasukan senior yang berjaya mencipta sejarah layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC pula kini dalam landasan mencipta rekod memenangi Liga Super buat kali kesembilan, sesuatu yang saya percaya sukar untuk ditandingi. A triple hattrick!. Ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku,” jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi kelab.

Jelas TMJ, pasukannya masih ada lima lagi perlawanan untuk merangkul kejuaraan, tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.

“Kami memerlukan setiap sokongan daripada penyokong dan seluruh Keluarga JDT dalam baki perlawanan untuk mencapai matlamat kami iaitu ‘triple hattrick’.

“Jumpa anda semua di perlawanan ‘home’ akan datang — Negeri Sembilan, Kedah dan Sabah!.”