ATLET ski air negara Aaliyah Yoong Hanifah memenangi pingat pertamanya apabila menamatkan saingan di tangga ketiga dari 12 finalis acara lompat wanita di Kejohanan Dunia Ski Air di Chapala, Mexico pada Sabtu.
Aaliyah, 19 tahun memenangi pingat gangsa dengan lompatan 45.2 meter sekaligus mencipta sejarah peribadi apabila menjadi peserta Malaysia dan Asia pertama yang berjaya menaiki podium.
“Ini adalah pencapaian bersejarah untuk dia muncul di tempat ketiga dalam kejohanan dunia bawah 21 tahun ini apabila Aaliyah telah menjadi bukan sahaja atlet Malaysia pertama tetapi juga dari Asia yang berjaya menaiki podium,” kata Hanifah Yoong yang juga ketua jurulatihnya.
Aaliyah yang baharu sahaja memulakan pengajian di universiti Januari lalu dibawah biasiswa Yayasan Sime Darby menganggap pencapaian ini adalah sangat manis kerana dia perlu membahagikan masa antara belajar dan berlatih dalam tiga acara di Florida, Amerika Syarikat.
“Saya sangat gembira dengan keputusan ini kerana telah memberikan segalanya untuk podium pertama di kejohanan dunia di sini,” katanya.
Dia juga menambah bahawa terlepas satu lagi pingat gangsa dalam disiplin keseluruhan selepas tewas tipis kepada peserta Australia, Lara Butlin.