ENGGAN meletakkan sasaran terlalu tinggi di Sukan Olimpik ke-33, Aaron Chia tidak menolak kemungkinan bahawa mereka akan berusaha mendapatkannya, sekali gus muncul rakyat Malaysia pertama memenangi kejohanan-kejohanan utama dunia.

Aaron berkata, memikirkan untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik sahaja sudah menaikkan semangatnya dan pasangan, Soh Wooi Yik, untuk mencipta legasi yang mahu dikejar individu lain bergelar atlet.

Aaron Chia berasakan Olimpik Paris, peluang terbaik buatnya dan Soh Wooi Yik merebut emas, sekali gus mengekalkan legasi sebagai pemain badminton pertama negara, meraih kejuaraan dunia dan emas Olimpik pertama.

“Sudah tentu itu (emas) menjadi motivasi untuk kami capai. Dan lebih menaikkan semangat kami apabila mengejar pencapaian yang tidak mampu atlet lain lakukan,” kata Aaron, menjawab kepada kemungkinan dia dan Wooi Yik, mencipta legasi sebagai pemain badminton pertama negara yang merangkul kejuaraan utama dunia.

Sebelum ini, gandingan itu menjadi pemain badminton Malaysia pertama muncul juara dunia pada 2022, dan sekiranya meraih emas di Paris, mereka bakal mencatat satu lagi sejarah sebagai pemain badminton pertama negara mencapai tahap tertinggi dalam sukan itu.

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik muncul juara dunia pada 2022.

Malah legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang meraih 69 gelaran sepanjang kariernya sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, sehingga bersara pada 2019 juga tidak mampu mencapai status juara dunia sebagaimana dicipta Aaron-Wooi Yik.

Dalam pada itu, Aaron tidak menolak kemungkinan bahawa Paris adalah peluang terbaik buat dia dan Woi Yik meraih pingat emas pertama negara.

Sidang media pemain badminton negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Saya berasa kali ini mungkin menjadi peluang terbaik buat kami melakukannya sebagaimana yang pernah disuarakan sebelum ini.

“Tetapi tiada tekanan dan kami hanya mahu menikmati keseronokan dalam setiap perlawanan dan pantang untuk kami menyerah kalah,” ujar Aaron.

Gandingan nombor 5 dunia itu, belum meraih sebarang gelaran tahun ini namun muncul naib juara di Seluruh England, mara ke separuh akhir Terbuka India dan Kejohanan Badminton Asia, suku akhir Terbuka Malaysia, Terbuka Perancis, Masters Malaysia serta Terbuka Singapura.