UMPAMA menerima durian runtuh. Itulah perumpaan yang boleh diberikan kepada beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas mendapat ganjaran berupa insentif kewangan atas kejayaan memenangi pingat gangsa ketika Temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Selepas mendapat sebuah kereta Chery Tiggo 7 Pro berharga RM123,800 setiap seorang, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menerima pula ganjaran wang tunai RM125,000 setiap seorang dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ganjaran tersebut disampaikan oleh Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria dalam satu majlis yang diadakan secara ringkas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Sabtu.

Tan Sri Norza Zakaria menyerahkan insentif kemenangan kepada Aaron-Wooi Yik dan Rexy Mainaky

Jumlah ganjaran tersebut meningkat lebih daripada dua kali ganda berbanding yang diterima ketika membawa pulang kilauan pingat yang sama ketika Temasya Tokyo 2020 iaitu RM120,000 untuk dua orang.

Dalam majlis yang sama, selain atlet, BAM turut menyampaikan ganjaran kepada barisan kejurulatihan dan staf sokongan yang bernilai RM60,000 yang diwakilkan kepada Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky dan jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen.

Ganjaran itu juga meningkat berbanding yang diberikan kepada barisan kejurulatihan dan staf sokongan selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu sebanyak RM30,000 sahaja.

 

Selain daripada hadiah dan ganjaran yang telah diterima, gandingan itu menerima satu lagi ganjaran wang tunai oleh pihak kerajaan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Kedua-dua mereka akan menerima wang tunai RM100,000 seperti yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini.