BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia 2024.

Beregu utama nombor satu negara itu berjaya mengatasi beregu lelaki No. 8 dunia dari China, Liu Yuchen dan Ou Xuangyi di peringkat suku akhir hari ini.

Set pertama menyaksikan beberapa kesilapan yang dilakukan oleh beregu China itu sekaligus membuka ruang kepada Aaron-Wooi Yik untuk mengungguli set pertama dengan keputusan 21-14.

Set kedua pula menyaksikan Yuchen-Xuangyi cuba bangkit dengan sokongan penyokong China yang hadir namun beregu negara mampu mengekalkan momentum dari set pertama sebelum meraih kemenangan 21-15.

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan menantikan keputusan antara satu lagi wakil negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dengan wakil Taiwan, Lee Yang dan Wang Chi-lin sebagai lawan di separuh akhir esok.