SELEPAS satu persatu tembok halangan dipepcahkan, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini berada di ranking kedua dunia, namun prestasi mereka belum mencapai tahap kesempurnaan.
Malah dalam kegarangan mereka menghadapi lawan, ada rasa gerun yang hadir, namun masih cuba di atasi.
Manakan tidak, rekod pertemuan semasa menunjukkan pemain lawan semakin mengukuhkan kelebihan.
Sebagai pemain yang lebih berpengalaman berbanding rakan gandingan, Aaron meletakkan prestasi beregu lelaki dunia di pentas antarabangsa amat sukar dibezakan, namun dua pasangan yang dianggapnya lebih konsisten ketika ini.
“Nak cakap susah untuk kami menang tu, mungkin pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang dan beregu India, Chirag Shetty-Satwisairaj Rankireddy.
“Pasangan India tu, kalau ikutkan rekod pertemuan kami masih jauh mendahului tapi dua pertemuan terakhir, mereka menang.
“Saya rasa dua pasangan ini memang agak susah sekarang, mungkin mereka sudah menemui corak permainan yang sesuai untuk mereka,” kata Aaron.
Ketika ini, Wei Kang-Wang Chang menghuni ranking nombor satu dunia, memiliki kelebihan dalam enam pertemuan dengan Aaron-Wooi Yik yang menyaksikan gandingan negara hanya menang sekali dan tewas lima kali.
Berbanding pasangan India, Shetty-Renkireddy pula, biarpun memiliki kelebihan menang lapan perlawanan daripada 10 pertemuan, kekalahan pada dua pertemuan terakhir agak membimbangkan.
“Kalau kita tengok pasangan India sejak tahun lalu, dia sudah jumpa game play mereka jadi kami kena tahu game play bagaimana untuk mengatasi kekuatan mereka.
“Kalau kita lihat, jika mereka boleh sampai ke final, pasti mereka akan juara, jadi saya boleh katakan pemain China dan India itu, agak solid ketika ini.”
Menurutnya, kekalahan Shetty-Renkireddy kepada pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di pusingan kedua Terbuka Perancis Oktober lalu, mungkin boleh dijadikan rujukan.
“Kita boleh buat analisa permaian Hendra-Ahsan dengan Shetty-Renkireddy. Mungkin permainan kami tak sama dengan corak pemain Indonesia itu, tapi boleh cuba menggunakan beberapa strategi mereka dn campur dengan permainan kami,” kara Aaron lagi.
Aaron-Wooi Yik yang kandas di pusingan pertama Terbuka Perancis, terus bergelut pada dua kejohanan berikutnya iaitu Masters Jepun dan Masters China, apabila tersingkir di pusingan kedua.
Begitupun, mereka berjaya meraih gelaran Jelajah Dunia pertama dalam kerier, apabila menjuarai Terbuka Denmark pada pertengahan Oktober lalu.