SELEPAS tiga kejohanan terakhir Jelajah Dunia 2023, di Terbuka Perancis dan Masters Jepun serta China berakhir di pusingan pertama dan kedua, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang kini turun ke tangga ketiga dunia mengharapkan keputusan terbaik mampu mereka capai pada aksi Jelajah Dunia Akhir yang akan berlangsung di Hangzhou, China.

Saingan yang akan bermula 13 hingga 17 Disember itu bakal menjadi penentu kepada bagaimana cara gandingan utama negara itu, akan membuka musim baharu 2024.

Menurut Aaron, dia dan pasangannya belum cukup sempurna dalam permainan.

“Kami belum cukup perfect tapi pada Jelajah Dunia Akhir ini, saya harap kami tutup dengan kegembiaraan, kami mahukan happy ending.

“Keputusan yang baik di Jelajah Dunia Akhir amat penting kerana kami mahu bawakan momentum yang baik untuk bermula pada 2024 iaitu di Terbuka Malaysia,” kata Aaron.

Menurutnya, episod kekalahan mahu dilupakan namun cara mereka kalah akan dijadikan panduan untuk mencapai kemenangan ke atas lawan yang berada dalam kelompok lapan teratas ranking Jelajah Dunia.

Kegagalan Aaron-Wooi Yik menamatkan saingan di tiga kejohanan terbabit pada kedudukan terbaik iaitu sekurang-kurangnya ke suku akhir, mengundang padah apabila ranking dunia mereka yang berada di tangga kedua, kini jatuh satu anak tangga, apabila dipintas gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Begitupun, pasangan India itu gagal melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir, apabila sekadar berada di ranking ke-10 jelajah.

Aaron-Wooi Yik pernah beraksi di tiga edisi Jelajah Dunia Akhir iaitu pada tahun 2019, 2020 dan 2022, namun gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.