KEMARAU kejuaraan di Kejohanan Badminton Remaja Dunia, berakhir buat negara apabila beregu lelaki utama, Aaron Tai-Kang Khai Xing mencipta sejarah menjuarai kejohanan yang berlangsung di Nanchang, China, Ahad malam.

Pilihan utama kejohanan itu, menamatkan kemarau kejuaraan yang kali terakhir menyaksikan, Goh Jin Wei muncul juara perseorangan wanita pada edisi 2018.

Malah percubaan kali kedua Aaron yang sekadar meraih gangsa bersama Bryan Goonting tahun lalu, menjadi ketika bergandingan dengan Khai Xing apabila turut menamatkan kemarau gelaran beregu lelaki selama 13 tahun, selepas Nelson Heg-Teo Ee Yi melakukannya pada 2011.

Kang Khai Xing-Aaron Tai muncul juara Remaja Dunia, manakala Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu naib juara.

“Kemenangan ini cukup menggembirakan dan saya hanya nak balik Malaysia, nak makan sepuas-puasnya dan jumpa keluarga,” kata Khai Xing, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), spontan.

Menurutnya, kejayaan itu bagaikan mimpi menjadi kenyataan, terutamanya selepas gagal pada percubaan pertamanya pada edisi tahun lalu.

Sementara itu, Khai Xing pula menganggap ketenangan membawa mereka ke mahkota kejuaraan, selepas bangkit dari kekalahan set kedua.

“Secara keseluruhan, kami tidak mempamerkan permainan terbaik, di set kedua kami tidak stabil, tetapi kami perlawahan-lahan mengawal situasi.

“Walaupun mereka mengejar dan memberi tekanan, kami berjaya mengatasinya,” kata Khai Xing.

Bersejarah… Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi hampir mencipta sejarah di Nanchang, China.

Terdahulu, Aaron-Khai Xing menang set pertama 21-18, dikejutkan dengan kebangkitan mendadak pasangan Chen Yong Rui-Chen Zhe Han 10-21, namun berjaya memenangi perlawanan penentuan dengan kemenangan 21-15.

Sementara itu, hasrat melihat Malaysia membawa pulang dua kejuaraan di di Nanchang, tidak kesampaian selepas beregu wanita negara, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi akur kepada kehebatan juara bertahan, Ririna Hiramoto-Aya Tamaki dari Jepun.

Pengalaman ternyata menjadi batasan untuk gandingan negara itu meraih emas, ketika tunduk 17-21, 17-21.

“Kami minta maaf kepada peminat badminton tanah air kerana gagal bawa pulang pingat emas.

“Meskipun ada peluang untuk bangkit di set kedua, mereka (Jepun) tukar taktikal dan bermain lebih laju lalu kami tidak dapat mengikuti rentak mereka,” kata Dania, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Terdahulu, pasangan negara itu, melangkah ke final dengan mengejutkan pilihan utama dari China, Chen Fan Shu Tian-Liu Jia Yue di separuh akhir.