GANDINGAN lelaki nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilabel berpotensi besar menyumbang pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Hal itu diakui legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei yang menyifatkan Aaron-Wooi Yik memiliki ‘barang’ yang tiada pada pemain lain di negara ini.

Katanya, Aaron-Wooi Yik yang muncul juara dunia tahun lalu dan baru mengecapi satu gelaran Jelajah Dunia selepas kira-kira enam tahun begandingan, mungkin memiliki tuah untuk memenangi kejohanan-kejohanan besar termasuk Olimpik.

Datuk Lee Chong Wei optimis, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ada aura untuk memenangi gelaran utama dunia.

“Saya harap Aaron dan Wooi Yik lebih bersemangat selepas menjuarai Terbuka Denmark. Walaupun mereka baru dapat satu gelaran Jelajah Dunia, tapi tidak seperti saya mereka sudah jadi juara dunia.

“Jadi saya rasa mereka mungkin akan menang kejohanan-kejohanan besar dan ada peluang menang emas Olimpik,” katata Chong Wei.

Dalam pada itu, Aaron mengakui setiap pemain memiliki kelebihan dan kekurangan berbeza dan ditentukan takdir yang berbeza.

Datuk Lee Chong Wei memiliki 69 gelaran sepanjang keriernya, 46 gelaran Siri Super.

“Mungkin benar apa yang dikatakan Datuk Lee, kami akui kami banyak menang pingat di temasya sukan.

“Dengan satu gelaran juara dunia dan satu Jelajah Dunia, kami sememangnya mahu capai lebih banyak lagi,” kata Aaron.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih gelaran Jelajah Dunia pertama dengan menjuarai Terbuka Denmark 2023.

Aaron bagaimanapun berharap dia dan Wooi Yik tidak dianggap kurang berusaha kerana sepanjang tahun ini, meskipun hanya meraih satu gelaran, mereka mara ke final di tiga Jelajah Dunia iaitu Terbuka India (Super 750), Terbuka Indonesia (Super 1,000) dan Terbuka China (Super 1,000).

Selepas ini, Aaron-Wooi Yik akan beraksi di Kumamoto Masters Jepun (Super 500) pada 14 hingga 19 November dan China Masters (Super 750) yang akan berlangsung di Shenzhen pad 21-26 November, sebelum menunggu pengesahan layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir yang akan berlangsung di Hangzhou, China pada Disember.