BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengharapkan ‘restu naga’ bagi mengiringi kejayaan mereka hingga ke Sukan Olimpik di Paris, Julai depan.

Menyambut perayaan Tahun Baru Cina kali ini, kedatagnan Tahun Naga diharap menjadikan mereka lebih kental berjuang memburu pingat emas Olimpik Paris.

Menurut Aaron, bergelar pemain paling senior dalam skuad kebangsaan ketika ini, diharap menjadikan mereka lebih matang dan tidak lagi mensia-siakan peluang beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.

Keluarga besar Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada majlis makan malam sempena Tahun Baru Cina. | FOTO IG Aaron Chia

“Sudah tentu harapan besar kami di Olimpik Paris. Kami sedia untuk berkorban apa sahaja bagi melakukan persiapan terbaik menghadapi temasya itu nanti.

“Dari satu sudut, kami pun bukan muda lagi dan kami tidak boleh ramal apa yang akan berlaku selepas Olimpik Paris tahun ini. Jadi, kami mahu memanfaatkan peluang yang ada sebaiknya.

“Kami akan berjuang habis-habisan, dapat atau tidak (menang emas) itu semua bergantung kepada rezeki. Apa yang paling penting kami buat yang terbaik di Olimpik Paris nanti,” kata Aaron yang kini berusia 27 tahun.

Pemain beregu lelaki Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada majlis makan malam sempena Tahun Baru Cina. | FOTO IG Aaron Chia

Bersama Wooi Yik, 26, mereka kni di ranking nombor lima dunia menjadi prospek utama kontinjen Malaysia bagi memenangi pingat emas di Paris.

Tiga tahun lalu di Olimpik Tokyo 2020, mereka menyumbang gangsa buat Malaysia pada penampilan pertama di temasya terbesar dunia itu.

Aaron-Wooi Yik kemudiannya mengukuhkan reputasi mereka apabila mencipta sejarah menjadi wakil pertama negara yang merangkul kejuaraan dunia juga di Tokyo pada 2022.

Pasangan itu turut menamatkan penantian mereka bagi muncul juara dalam saingan Jelajah Dunia BWF buat kali pertama sejak digandingkan pada 2017 apabila menjuarai Terbuka Denmark, tahun lalu.

Dalam pada itu, Aaron mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia dan memohon semua untuk terus memberi sokongan padu kepada perjuangan mereka terutamanya di Olimpik Paris.

“Saya juga mendoakan semua sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan kita semua diberkati,” katanya yang pulang ke kediaman keluarganya di Melaka bagi menyambut Tahun Baharu Cina kali ini.