PROGRAM Road to Gold (RTG) penting buat atlet bagi membantu mengimbangi prestasi kurang memberangsangkan.
Pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mengakui tidak pasti sama ada mereka berada dalam senarai projek RTG menjelang kelayakan Sukan Olimpik Paris, bermula Mei ini.
“Sebelum ini memang ada bincang dengan Michael (Datuk Michael Tang) untuk kita berada dalam projek RTG ini tapi senarai nama kami belum tahu, kita akan tanya lagi untuk memastikan bagaimana keseluruhan program, itu juga perlu jelas,” katanya.
Tambah Aaron, dia menganggap program terbabit perlu bermula segera, termasuk dari segi waktu latihan dan servis sokongan untuk menyokong mereka.
“Akan ada jurulatih yang membimbing kita dari masa ke semasa. Dari segi fizikal ada jurulatih kecergasan yang jaga kita melihat apa yang kita kurang,” katanya, ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Bulan lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan pembentukan pasukan projek RTG yang dianggap sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaras usaha memburu emas sulung di Sukan Olimpik.
Bagaimanapun senarai nama atlet yang bakal berada dalam program terbabit masih belum diumumkan namun dua ciri ditetapkan jawatankuasa RTG iaitu atlet yang sudah memenangi pingat pada Sukan Olimpik dan pemain negara berada dalam ranking 10 terbaik dunia.
Dalam pada itu, mengulas mengenai prestasi gandingan juara dunia itu, Aaron berkata dia dan Wooi Yik sedang berbincang bersama jurulatih untuk mencari titik kelemahan yang menjadi punca mereka gagal konsisten dalam setiap perlawanan.
“Saya rasa untuk sekarang kita boleh tengok dalam lima kategori mungkin beregu lelaki yang paling kompetitif, ini bukan cakap pasangan tertentu tak konsisten, yang juara pun boleh kalah juga untuk kejohanan akan datang.
“Tapi sebagai pasangan terbaik kami tidak boleh jadikan perkara itu sebagai alasan… Kita hanya perlu tahu apa yang perlu buat dan dapatkan kunci kejayaan untuk menang kejohanan, bagi saya bukan semua kejohanan boleh menang kita bukan robot,” katanya.
Aaron berkata, setakat ini dia dan pasangannya sedang memberi tumpuan untuk beraksi pada Kejohanan Badminton Asia yang bakal berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 25-30 April ini.
Pada Kejohanan Badminton Seluruh England pemenang pingat emas Sukan Sea, Filipina itu tersingkir seawal pusingan pertama selepas ditewaskan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 18-21,21-14,13-21.
Aaron-Wooi Yik kemudian terus mengalami kekalahan pada Terbuka Switzerland Mac lalu apabila gagal mara ke suku akhir selepas dibenam gandingan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito 21-17,16-21,17-21.