PENAMPILAN keempat beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Jelajah Dunia Akhir BWF 2023 di Hangzhou, China, masih sumbang apabila menerima kekalahan sulung dalam saingan kumpulan A.

Tampil selaku beregu ketiga dunia, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur tewas dalam pertarungan tiga set 16-21, 21-14, 18-21 kepada gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Ternyata kedudukan ranking tidak memberi kelebihan kepada gandingan negara yang menghadapi pasangan Hoki-Kobayashi yang menghuni tangga ketujuh dunia, malah rekod pertemuan kedua-dua gandingan itu nyata tidak memihak Aaron-Wooi Yik.

Aaron Cia-Soh Wooi Yik menerima kekalahan pertama di Jelajah Dunia Akhir 2023.

Dalam lapan pertemuan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik hanya mampu meraih dua kemenangan dan tewas lima perlawanan terakhir berdepan Hoki-Kobayashi.

Dalam mencongak langkah ke separuh akhir, Aaron-Wooi Yik kini tiada pilihan lain kecuali meraih kemenangan dalam baki dua perlawanan Kumpulan A.

Begitupun, tugas mereka tampak lebih sukar apabila bakal berdepan dua wakil China termasuk beregu nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang selain Liu Yu Chen-Ou Xuan.