DI mana silapnya sehingga beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus kempunan meraih gelaran di kejohanan terbuka, dengan terbaru di Malaysia Masters apabila tersekat di separuh akhir di tangan Fajar Alfian-Rian Ardianto dari Indonesia 14-21,21-19, 10-21.
Semuanya nampak kurang menjadi. Malah lebih menyedihkan rentak permainan mereka begitu mengecewakan dan agak kelam kabut.
Ini kali ketiga berturut-turut pasangan nombor enam dunia ini tersekat di separuh akhir selepas tunduk di peringkat sama di Terbuka Malaysia, minggu lalu dan Terbuka Indonesia, bulan lepas.
Sudah masanya untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) khususnya Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky untuk melihat kewajaran untuk diteruskan gandingan yang mendapat pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo.
Apa yang jelas seperti ada berlaku krisis keyakinan kepada gandingan ini terutama Wooi Yik yang nampak gagal bangkit selepas ‘direhatkan’ dalam dua perlawanan penting di pusingan akhir Piala Thomas menentang Jepun dan India.
Bahasa tubuh yang ditunjukkan Wooi Yik di Terbuka Malaysia dan Malaysia Masters juga memberi gambaran seperti dia hilang punca setiap kali diasak lawan yang jelas menjadikannya lubuk mengutip mata.
Namun, untuk terus memisahkan gandingan ini pasti bukan mudah kerana memerlukan keberanian. Tentunya pasangan yang mula mencipta nama dengan muncul naib juara All England 2019, mempunyai penyokong tersendiri yang pastinya sukar melihat mereka dipisahkan.
Apa lagi dengan status mereka sebagai antara penyumbang pingat di Sukan Olimpik tahun lalu.
Begitupun dengan aksi hambar yang kurang memberangsangkan ketika ini, sukar untuk membayangkan mereka mampu mengubah warna pingat di Sukan Olimpik Paris 2024.
Apa yang diperlukan Aaron-Wooi Yik adalah keyakinan dan ini hanya mampu diperolehi dengan memenangi sekurang-kurangnya satu gelaran. Namun dengan tempoh kelayakan Olimpik akan bermula 1 Mei 2023 sehingga 28 April 2024, tidak banyak masa yang menyebelahi mereka.
Mungkin untuk melayakkan diri ke temasya sukan terbesar itu, tidak menjadi masalah buat mereka tapi ia sekadar cukup memenuhi ego masing-masing. Namun cukupkah membantu negara mencari pingat emas pertama?
Memang bukan langkah bijak memisahkan gandingan itu secara tiba-tiba. Berilah masa untuk mereka memperbaiki diri dan andai gagal, tiada pilihan lain buat mereka.
Lebih baik untuk Rexy berbincang dari hati ke hati dengan kedua-dua pemain untuk menentukan arah tuju mereka, sambil mencari punca masalah gandingan ini. Masih belum terlambat untuk mereka bangkit kembali untuk menjadi pencabar gelaran tetapi wajar diberi had masa atau dateline.
Gambaran awal sama ada mereka mampu bangkit kembali dapat dilihat apabila mereka beraksi di Sukan Komanwel Birmingham akhir bulan ini, Kejohanan Dunia di Tokyo, Ogos nanti diikuti Terbuka Jepun.
Pokoknya beranikah BAM atau Rexy mengambil langkah berani andainya Aaron-Wooi Yik terus statik di tiga kejohanan di atas? Apa yang pasti andai tindakan itu tidak dipersetujui pasangan berkenaan, jangan terkejut jika mereka memilih ‘keluar’ daripada badan induk itu dan menjadi pemain bebas.