BIARPUN mempamerkan aksi kelas dunia dalam pentas separuh akhir Terbuka Malaysia 2022, namun ia belum cukup bagi menyekat hasrat gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi menempah tiket akhir setelah menumpaskan gandingan negara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik dalam aksi yang berlangsung sengit di Axiata Arena.
“Saya rasa set pertama memang kita yang leading, pada saat genting, itu yang masalah, lawan senang ambil mata dari kita. Memang kene fikir lagilah, apa yang betul punya masalah dekat separuh akhir atau akhir.
“Kita perlu bincang dengan jurulatih dan analisis kerana masalah sentiasa berlaku pada separuh akhir dan perlawanan akhir, ” kata Aaron selepas perlawanan.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky meluahkan rasa kekecewaannya setelah kegagalan pasangan harapan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melunaskan impian seluruh rakyat Malaysia untuk menyaksikan mereka beraksi di pentas akhir.
Bekas jaguh Olimpik itu kelihatan dalam keadaan bergenang air mata kerana dia merasai buntu kerana anak buahnya gagal mengaplikasi permainan yang diarahkan pada saat- saat genting di separuh akhir dan perlawanan akhir.
“Itu benar-benar tak keluar permainannya, main tak bisa main net, dia sepatutnya main bisa tengok gitu, main tiada idea, main macam orang suruh hantam macam itu sajalah.
“Mereka harus belajar dari pemain Indonesia, Fajar Rian dari ketinggalan bangkit semula dan beraksi sungguh baik. Satu lagi saya tak faham, kalau kau mau angkat, jangan asyik terus ke orang, harus bijaklah. Kalau macam doktor orang bagi ubat, mesti makan ubat baru boleh sembuh, kalau tidak susahlah,” ujar bekas jaguh Indonesia itu.
Bagaimanapun, dia tetap menzahirkan ucapan terima kasih kepada penonton yang sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bagi sepanjang kejohanan berlangsung.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong kerana sentiasa berada di belakang pasukan meskipun berasa kecewa kerana kalah, saya minta maaf,” jelas Rexy kepada media.
Bagi menyelesaikan masalah tersebut, dia akan melakukan analisis bersama para pemain dan berbincang dari hati ke hati agar pemain dapat mengatasi kelemahan yang disifatkan masih menjadi tanda tanya sehingga kini.