BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpeluang meraih gelaran pertama tahun ini selepas mara ke final Seluruh England, awal pagi tadi.

Pasangan nombor lima dunia itu hanya mempamerkan corak permainan pantas dan mengambil masa hanya 36 minit untuk mengatasi pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-16, 21-15 pada aksi separuh akhir di Utilita Arena, Birmingham.

Keputusan itu menyaksikan mereka mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas lawan berkenaan selepas turut menang dalam semua tiga pertemuan sebelum ini.

Kemaraan ke final bermakna, Aaron-Wooi Yik kini mengulangi pencapaian terbaik mereka di kejohanan badminton paling berprestij yang berusia 125 tahun itu selepas turut melangkah ke pentas final pada edisi 2019 yang menyaksikan mereka tewas kepada beregu berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.

Menantinya di final, satu lagi pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto yang menewaskan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-18, 21-18 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik mempunyai kelebihan apabila menang empat daripada tujuh perlawanan ke atas Fajar-Rian dengan kali terakhir menewaskan lawan itu ketika separuh akhir Terbuka India 2023 dalam pertarungan tiga set.

Sepanjang tahun ini, Aaron-Wooi Yik berjaya ke separuh akhir Terbuka India, suku akhir Terbuka Malaysia dan Terbuka Perancis.