BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus menghidupkan harapan peminat badminton negara, apabila mara ke separuh akhir Seluruh England awal pagi tadi.

Pasangan nombor lima dunia itu tidak berdepan masalah menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik selepas mengatasi bekas juara dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-14, 21-11 dalam aksi suku akhir di Utilita Arena Birmingham.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik mengekalkan rekod tanpa kalah mereka ke atas lawan berkenaan selepas menang semua empat pertemuan sebelum ini, malah membolehkan gandingan negara itu, menghampiri pencapaian terbaik mara ke final lima tahun lalu.

Meskipun belum merangkul kejuaraan tahun 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi pemain badminton negara paling konsisten.

“Hari ini dapat bermain dengan corak permainan kami, jadi kami gembira dan cukup yakin.

“Empat kali bertemu mereka sebelum ini dan gembira dapat mencatat satu lagi kemenangan hari ini, satu kepuasan,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pada 2019, Aaron-Wooi Yik pernah melangkah ke pentas final tetapi gagal merangkul kejuaraan selepas tewas di tangan pasangan Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.

Bekas juara dunia itu seterusnya akan bertemu pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan bagi perebutan tiket ke final, malam ini.

Walaupun menang semua tiga pertemuan ke atas lawan berkenaan sebelum ini, namun Aaron-Wooi Yik tetap mengambil pendekatan berwaspada susulan peningkatan prestasi yang ditunjukkan beregu Taiwan itu sejak kebelakangan ini.

Hanya selangkah lagi untuk ke final, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada di landasan terbaik memburu gelaran pertama musim ini.

“Lawan kami esok (hari ini) tidak mudah kerana mereka bermain sangat baik sejak kebelakangan ini. Jadi, kami perlu berhati-hati,” kata Aaron.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam misinya untuk melangkah ke separuh akhir Seluruh England buat kali kelima berturut-turut apabila tewas dalam pertarungan tiga set di tangan Lakshya Sen dari India.

Zii Jia yang juga juara edisi 2021 menang set pertama 22-20 tetapi Lakshya berjaya bangkit dengan memenangi dua set berikutnya 21-16, 21-19 untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.