JUARA beregu dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui berasa lega setelah badi di peringkat separuh akhir berjaya ditamatkan dalam Kejohanan Badminton Dunia (BWF) 2022 di Tokyo.
Lebih manis lagi, juara dunia itu berjaya mengatasi aspek kelemahan mental yang mereka alami di peringkat separuh akhir sebelum ini.
Jelas mereka, kejayaan di Tokyo itu dianggap hadiah daripada Tuhan kerana pengalaman ketika gagal dalam perlawanan sebelum ini berjaya diterjemahkan dengan menjuarai Kejohanan Dunia yang belum pernah dimenangi mana- mana pasangan negara dalam tempoh 45 tahun.
Berbeza daripada Sukan Komanwel baru-baru ini, gandingan tersebut menjelaskan mereka tampil dengan aura yang berbeza sejak pusingan awal kejohanan dunia ini dan merasakan perasaan yang lain dari sebelum ini.
“Kami rasa yang paling sukar adalah cabaran di peringkat separuh akhir. Sebelum ini, ada badi di peringkat separuh akhir, tidak pernah menang. Tapi, kita lega boleh menang kali ini.
“Saya rasa ini adalah hadiah daripada Tuhan. Paling mencabar bagi saya adalah di peringkat separuh akhir menentang gandingan Chirag Shetty dan Satwiksairaj Rankireddy sebab kali pertama jumpa,” jelas Aaron ketika ditemubual media secara atas talian pada Isnin.
Aaron-Wooi Yik pada Ahad berjaya menutup kritikan segelintir peminat yang tidak yakin bahawa mereka mampu mencipta sejarah menjadi gandingan pertama menjuarai Kejohanan Badminton Dunia sekaligus sejarah tersebut akan sentiasa terpahat dalam kalendar sukan negara.