HAMPIR melakukannya kebangkitan, namun tidak kesampaian.
Begitupun, tiada istilah berputus asa dalam kamus beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di sebalik kegagalan mereka mengakhiri penantian muncul juara buat kali pertama dalam saingan Jelajah Dunia BWF tahun ini.
Pasangan yang baru naik ke ranking nombor dua dunia, hari ini, terlepas peluang terbaik melakar pertama dalam kejohanan terbuka sejak digandingkan pada 2017 apabila tewas di final Terbuka India kepada gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang, kelmarin.
“Kami tidak boleh cakap yang kami berpuas hati kerana kami tidak berjaya meraih gelaran juara. Namun, secara keseluruhannya, prestasi kami baik dan boleh diterima.
“Ini hanyalah kejohanan kedua bagi tahun 2023, kami akan terus bekerja keras dan terus percaya dengan kemampuan diri sendiri,” kata Aaron ketika ditemu ramah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebaik tamat aksi final di New Delhi.
Pencapaian di India boleh dianggap sebagai tanda kebangkitan juara dunia itu yang ditujunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka Malaysia, dua minggu lalu.
Peluang sekali lagi terbuka buat Aaron-Wooi Yik bagi mengakhiri badi kejuaraan apabila mereka dijadual beraksi dalam saingan Masters Indonesia.
Pasangan negara itu akan membuka tirai kempen di Jakarta menentang beregu daripada pusingan kelayakan, pada Rabu.
Jika berjaya melangkah ke pusingan kedua, mereka berpeluang menebus kekalahan di tangan Wei Keng-Wang Chang yang diramal menjadi lawan untuk perebutan tiket ke suku akhir.
Wei Keng-Wang Chang akan memulakan kempen di Masters Indonesia menentang beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel pada aksi pusingan pertama.