TERLEPAS peluang mempertahan kejuaraan di Kejohanan Dunia, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu segera melupakan episod duka tersingkir di separuh akhir, kejohanan berlangsung di Copenhagen, Denmark awal pagi tadi.
Aaron-Wooi Yik tewas di tangan gandingan keenam dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-23, 13-21 di Royal Arena, sekali gus sekadar membawa pulang pingat gangsa.
Menurut Aaron, kekalahan itu sememangnya suatu yang mengecewakan namun tidak perlu terlalu memikirkannya dan mahu mengalih tumpuan kepada persiapan Sukan Asia Hangzhou, bulan depan.
Aaron berkata, Min Hyuk-Seung Jae beraksi lebih baik dan lebih yakin berbanding mereka.
“Pada set pertama, kami mendahului tiga atau empat mata. Namun ketika mata-mata penting, saya rasa kami perlu belajar untuk tenang dan lebih fokus kerana boleh dilihat yang kami mempunyai peratusan lebih baik untuk menang set pertama tetapi kami kalah.
“Saya fikir, yang lepas biarlah lepas. Sekarang kami sedang melakukan persiapan untuk Sukan Asia. Itu sasaran utama untuk seterusnya,” kata Aaron.
Dalam pertemuan sulung dengan gandingan dari Korea Selatan itu, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keempat dunia memulakan perlawanan dengan baik, sehingga mendahului 19-15 namun Min Hyuk-Seung Jae menunjukkan kebangkitan semangat juang tinggi untuk menafikan kemenangan mereka.
Min Hyuk-Seung Jae terus bangkit di set kedua untuk melakar kemenangan dan juara Terbuka Australia dan Masters Malaysia 2023 itu dijadual bertemu pilihan ke-11 kejohanan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen di pentas final, hari ini.
Sebagai rekod, tahun lalu, Aaron-Wooi Yik muncul selaku pemain pertama negara yang meraih gelaran dunia di Tokyo, Jepun selepas menewaskan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.
Kejohanan Dunia tahun ini menyaksikan pilihan utama kejohanan dalam beregu lelaki kandas awal termasuk gandingan nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.