PASANGAN beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui mereka banyak berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak mendoakan kejayaan mereka sehingga berjaya membawa pulang pingat gangsa dari Sukan Olimpik Paris 2024.

Aaron-Wooi Yik berjaya memenangi pingat gangsa selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Rasmussen ketika aksi penentuan tempat ketiga.

Ini juga adalah pingat gangsa kedua mereka dalam penampilan kedua di Sukan Olimpik dan mereka mahu menggunakan momentum pingat emas ini untuk beraksi lebih baik pada kejohanan selepas ini.

“Kita perlu berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong kami dan juga kepada BAM, Program RTG, jurulatih dan keluarga yang sentiasa menyokong kita tanpa mengira apa pun yang terjadi.

“Olimpik kali ini banyak kami dapat belajar dan ini adalah pingat gangsa kedua kami dalam penampilan kedua di Olimpik dan kami bangga terutamanya apabila kami dapat atasi masalah untuk dapat pingat gangsa ini.

“Ada beza pingat kali ini kerana sebelum ini beraksi tanpa penyokong tetapi kali ini apabila masuk stadium boleh rasa gementar dengan suasananya tetapi kami dapat atasi semua masalah dan berjaya dapat gangsa walaupun sasaran kami pastinya emas,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Paris.

Aaron-Wooi Yik juga mengakui masih banyak perkara yang perlu mereka atasi dan perbaiki bermula dari sekarang sekiranya mereka mahu kembali merampas emas pada Temasya Olimpik Los Angeles pada 2028 nanti.

“Masih ada banyak ruang untuk kami perbaiki dan juga sentiasa bersedia dalam pelbagai perkara untuk bersaing dengan lebih baik di Los Angeles nanti.

“Di Olimpik, semua menyasarkan pingat emas termasuk kami jadi sememangnya ia sangat sukar dan kami juga sudah berikan segalanya dari sesi latihan dengan strategi yang diatur jurulatih,” jelasnya.

Kedua-dua pemain itu kini hanya mahu berehat bersama-sama keluarga beberapa hari sebelum kembali berlatih untuk menghadapi Terbuka Jepun dan Terbuka Korea.

“Kami hanya akan berehat beberapa hari sebelum menyertai Terbuka Jepun dan Terbuka Korea selepas ini dan hanya mahu berikan tumpuan kepada keluarga terutama anak dan isteri kerana sudah lama berjauhan dengan mereka.”

Ketibaan mereka di KLIA disambut meriah peminat-peminat badminton tempatan dengan pasangan beregu itu turut diraikan oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu majlis ringkas bersama-sama pemain dan pegawai pasukan badminton yang lain.