GANDINGAN beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mula menunjukkan perubahan positif sejak memutuskan untuk menetap sepenuh masa di asrama Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Kem latihan khas selama sebelum sebelum memulakan perjalanan ke Paris itu, berjaya mengelakkan pasangan nombor lima dunia itu daripada terdedah kepada gangguan luaran yang tidak diperlukan.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky mengakui petanda positif ditunjukkan kedua-dua pemain.

Menurut Rexy, kedua-dua pemain itu lebih fokus dan meningkatkan keupayaan masing-masing sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 bermula, Julai depan.

“Setakat ini, Aaron dan Wooi Yik sudah ada perubahan apabila mereka membuat keputusan untuk tinggal di ABM sepenuh masa sebelum pergi ke Olimpik.

“Mereka lebih tenang dan sentiasa fokus. Jika di luar mungkin ada gangguan, tetapi di sini (ABM) mereka boleh jalani latihan dan merancang taktikal lebih baik,” katanya.

Soh Wooi Yik tidak mahu pulang ke rumah keluarga, mahu menetap di ABM sehingga berlepas ke Paris, 10 Julai depan. 

Skuad badminton di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan berkampung selama 10 hari di wilayah Aire Sur La Lys, Perancis bermula 10 Julai, menjalani kem latihan pra-Olimpik sebelum temasya sukan terbesar dunia itu bermula 23 Julai hingga 11 Ogos.

Sepanjang tahun ini, Aaron-Wooi Yik melangkah ke suku akhir Terbuka Malaysia (Super 1000), separuh akhir Terbuka India (Super 750), suku akhir Terbuka Perancis (Super 750), naib juara Seluruh England (Super 1000), separuh akhir Kejohanan Badminton Asia, suku akhir Masters Malaysia (Super 500), suku akhir Terbuka Singapura (Super 750) namun kandas di pusingan kedua Terbuka Indonesia (Super 1000).

Aaron Chia mengorbankan masa bersama anak dan isteri, demi merealisasikan emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain Aaron-Wooi Yi, pemain BAM yang bakal beraksi di Olimpik Paris termasuk beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah dan pasangan campuran nombor satu negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Malaysia turut akan diwakili dua pemain professional, iaitu juara bekas All England Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) dan bekas juara Kejohanan Remaja Dunia Goh Jin Wei (perseorangan wanita).