KEPANTASAN dalam gelanggang menjadi antara faktor utama perlu diperbaiki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam tempoh beberapa bulan terakhir sebelum Sukan Olimpik Paris 2024, bermula.
Kekurangan gandingan utama negara itu ketika melakukan pergerakan dalam gelanggang pertandingan, semakin ketara menjadi punca kekalahan terutamanya pada prestasi terkini mereka di Terbuka Perancis yang sedang berlangsung ketika ini.
“Bagi saya, kekalahan ini adalah proses untuk kami terus meningkatkan tahap permainan sendiri. Kami belajar sesuatu dan sudah melakukan yang terbaik bertemu mereka.
“Kami perlu memperbaiki beberapa kelemahan seperti kepantasan dan pergerakan bagi mengejar beregu-beregu lain. Sangat penting untuk kami menganalisis lawan kerana tempoh tiga bulan terakhir ini cukup penting,” kata Wooi Yik kepada BWF.
Bekas juara dunia itu perlu kembali segera ke prestasi sebenar sekiranya berhasrat untuk menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama amat yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia selama ini.
Pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Paris semalam, Aaron-Wooi Yik gagal melangkah lebih jauh apabila menamatkan Jelajah Dunia Super 750 itu dengan kekalahan 19-21, 16-31 kepada beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae kelmarin.
Begitupun, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, boleh dianggap sebagai pemain negara paling menyerlah musim ini apabila dua kali melangkah ke suku akhir pada Terbuka Malaysia dan Terbuka Perancis selain mara ke separuh akhir Terbuka India.
Sementara itu, Aaron pula menganggap gelanggang di Arena Porte de la Chapelle yang merupakan venue rasmi badminton pada Olimpik Paris nanti sangat sesuai untuk pemain-pemain yang gemar bermain secara menyerang.
“Saya fikir arena cukup bagus untuk Olimpik nanti kerana sudah bermain tiga perlawanan di sini. Mungkin keadaan sedikit berangin dan sesuai untuk menyerang, jadi kami perlu berjaga-jaga nanti,” ujarnya.