PEMENANG pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak mempedulikan undian acara beregu lelaki di Sukan Olimpik Paris, yang akan dijalankan pada 12 Julai depan, kerana sedia membadai setiap pencabar yang dihadapi.
Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berkata, status pilihan mahupun sebaliknya, tidak banyak berbeza kerana setiap gandingan yang layak ke Olimpik mempunyai kekuatan tersendiri.
“Untuk Olimpik kali ini, kami tidak fikir untuk mengelak sesiapapun… saya rasa tiada pasangan pilihan pertama akan berasa selesa untuk memenangi pasangan bukan pilihan.
“Paling utama adalah pemain fokus dalam setiap perlawanan, siapa datang kita langgar,” kata Bin Shen, ditemui di akademi Badminton Malaysia (ABM).
Menurutnya, selagi tenang dan tahu “cara” bermain ketika berdepan setiap lawan, tiada masalah, malah berdasarkan prestasi semasa Aaron-Wooi Yik, beliau yakin pingat emas mampi dimenangi.
Beliau berkata, tahap permainan antara semua beregu lelaki di Paris agak setara, namun Aaron-Wooi Yik perlu kekal cergas, bebas kecederaan dan memiliki minda yang tenang.
Di Paris, Aaron-Wooi Yik yang akan tampil kali kedua di temasya sukan terbesar dunia itu tidak diletak sebagai pemamin pilihan berikutan hanya empat terbaik ranking dunia mendapat seeding.
Beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang yang berada di ranking nombor 1 dunia sebagaipilihan utama, diikuti Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark) kedua, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India (ketiga) dan pemain Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae (keempat).
Aaron-Wooi Yik gagal meraih gelaran tahun ini dengan pencapaian terbaik, muncul naib juara Seluruh England Mac lalu.
Mereka meraih satu gelaran, Terbuka Denmark pada 2023 dan munncul juara di Kejohanan Dunia pada 2022.