BEREGU lelaki nombor dua dunia, Soh Wooi Yik meletakkan sasaran untuk ke final Kumamoto Masters, Jepun yang akan bermula Selasa ini.

Wooi Yik yang bergandingan dengan Aaron Chia berkata, sasaran itu perlu dicapai, atau mereka terpaksa mencapainya di kejohanan Masters China, seminggu kemudian.

Menurutnya, sasaran itu ditetapkan mereka dalam usaha memastikan tempat ke Jelajah Dunia Akhir berada dalam selamat.

Aaron-Wooi Yik mahukan momentum yang baik untuk meneruskan musim baharu, tahun hadapan.

“Dua kejohanan ini adalah yang terakhir sebelum ke Jelajah Dunia Akhir, sekurang-kurangya sampai ke separuh akhir atau akhir, ini bukan lagi satu tekanan yang kami cipta.

“Apabila berada di tahap ini, kami wajib ada standard pencapaian minima,” kata Wooi Yik.

Aaron-Wooi Yik dijadual menentang gandingan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin yang berada di ranking ke-11 dunia.

Sasaran kejohanan bukan lagi tekanan buat Soh Wooi Yik.

Berdasarkan rekod tujuh pertemuan, Lee Yang-Chi Lin mendahului dengan empat kemenangan, namun gandingan negara itu menang pada pertemuan terkahir mereka pada Kejohanan Dunia Ogos lalu dengan kemenangan 21-16, 21-18.

Ketika ini, gandingan negara berada di ranking kelima Jelajah Dunia, belum cukup selamat dengan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarp Rasmussen dan pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana tidak jauh di belakang.

Hanya lapan gandingan terbaik ranking Jelajah Dunia dapat beraksi di Jelajah Dunia Akhir yang menawarkan mata ranking lumayan, terutamanya ketika memburu mata kelayakan Olimpik Paris 2024.

Aaron-Wooi Yik pernah dua kali layak ke Jelajah Dunia akhir, iaitu pada edisi 2020 dan 2022, kedua-duanya berakhir di tempat tercorot kumpulan.