PASANGAN pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Aaron Chia – Soh Wooi Yik terpaksa menarik diri dari Terbuka Jepun yang akan bermula pada Selasa, 20 Ogos 2024.

Keputusan itu terpaksa dibuat selepas doktor pasukan menasihatkan agar Wooi Yik terus menjalani pemulihan kerana masih belum berada di tahap kecergasan yang baik dan mahu mengurangkan risiko kecederaan yang dihadapinya.

Wooi Yik mengalami kecederaan di bahagian kaki sejak saingan separuh akhir Olimpik Paris ketika menentang gandingan dari China Liang Wei Keng -Wang Chang minggu lalu sebelum perlawanan penentuan pingat gangsa.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menjelaskan setakat ini hanya Aaron dan Wooi Yik sahaja yang terpaksa disisihkan dari Terbuka Jepun yang akan berlepas pada Ahad.

“Aaron dan Wooi Yik tidak boleh beraksi kerana Wooi Yik punya keadaan masih belum pulih sepenuhnya jadi kita harus ketepikan mereka dahulu, cuma penyertaan mereka di Terbuka Korea nanti bergantung kepada keadaan Wooi Yik,” katanya.

Rexy juga menyatakan bahawa kecederaan yang melanda pemain berusia 26 tahun itu tidaklah begitu serius tetapi dia enggan mengambil risiko dan mahu memberi tempoh buat Wooi Yik pulih sepenuhnya.

Aaron-Wooi Yik mencipta sensasi di Olimpik Paris ketika aksi penentuan pingat gangsa selepas bangkit dari ketinggalan 16-20 pada set kedua untuk menang seterusnya mengheret permainan ke set penentuan sebelum memenangi pingat gangsa pertama buat kontinjen Malaysia.