PERCATURAN sebelum perlawanan menjadi buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik, apabila mereka menewaskan gandingan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho di pusingan kedua pada Khamis.
Menurut Wooi Yik, mereka sememangnya menjangka cabaran getir akan hadir daripada Sol Gyu-Won Ho, dan penentu kemenangan perlawanan itu adalah pemenang set pertama.
“Memang bertemu pemain Korea ini, kami sasarkan untuk menang set pertama, kerana bakal jadi penentu siapa akan menang dan percaturan kami berjaya,” kata Wooi Yik, selepas gandingan itu menang 21-19, 21-14 ke atas pasangan Korea itu.
Kemenangan diperoleh itu membolehkan pasangna utama negara melebarkan rekod kemenangan kepada 2-0 selepas kali terakhir Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia 2022 itu mencatat kemenangan ke atas lawan sama di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) pada 2020.
Ia juga pentas suku akhir ketiga buat mereka musim ini dengan pencapaian terbaik muncul naib juara di Terbuka India awal Januari lalu.
Di separuh akhir esok (Jumaat), Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking kedua dunia dijadual bertemu sama ada pilihan kelapan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin ataupun gandingan China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong.
Mengikut jejak Aaron-Wooi Yik adalah Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menewaskan gandingan dari Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall 19-21, 21-16, 21-13.
Wei Chong-Kai Wun dijadual bertemu sama ada pilihan ketiga dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan ataupun beregu Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan di suku akhir.