NASIB beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada saingan Jelajah Dunia Akhir, di Hangzhou, China, nampaknya tidak berubah berbanding penyertaan pada tiga edisi sebelum ini, apabila tumbang kali kedua berturut-turut dalam saingan Kumpulan A.

Dalam aksi di Gimnasium Olimpik Hangzhou itu, Aaron-Wooi Yik yang tampil selaku gandingan nombor tiga dunia tewas dalam pertarungan tiga set 21-19, 18-21, 20-22 kepada beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

Untuk rekod, ia adalah kekalahan keempat Aaron-Wooi Yik kepada Yu Chen-Xuan Yi sekalipun mereka meraih kemenangan dalam dua aksi terakhir termasuk pada Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Oktober lalu.

Malah, kekalahan kepada gandingan yang menghuni tangga kelapan dunia itu menyaksikan peluang Aaron-Wooi Yik ke peringkat separuh akhir kejohanan akhir musim itu tampak makin sukar.

Aaron-Wooi Yik kini perlu menunggu nasib mereka di tangan satu lagi wakil China, Liang Wei Keng-Wang Chang mahupun gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi untuk layak ke separuh akhir.

Wei Keng-Wang Chang berjaya menewaskan Hoki-Kobayashi 23-21, 21-17, sekali gus membuka peluang untuk beregu nombor satu dunia itu ke separuh akhir.

Ketika ini, Yu Chen-Xuan Yi sudah pasti ke separuh akhir selepas mencapai dua kemenangan selepas menewaskan Wei Keng-Wang Chang dan Aaron-Wooi Yik.

Manakala Wei Keng-Wang Chang dan Hoki-Kobayashi juga membawa bekalan satu kemenangan ke atas gandingan negara.

Aaron-Wooi Yik tidak mampu saingi Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

Aksi terakhir peringkat kumpulan pada Jumaat bakal menentukan nasib mereka apabila Aaron-Wooi Yik dijadual menentang Wei Keng-Wang, manakala  Hoki-Kobayashi bakal membuat perhitungan dengan Yu Chen-Xuan Yi.

Mengikut format pertandingan Jelajah Dunia Akhir BWF, hanya dua wakil teratas dalam setiap kumpulan layak ke peringkat separuh akhir.

Untuk rekod,  Hoki-Kobayashi yang juga bekas juara dunia melakar kemenangan 21-16, 14-21, 21-18 ke atas Aaron-Wooi Yik dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada Rabu.

Wei Keng-Wang Chang pula mengalami nasib berbeza apabila tewas mengejut 18-21, 21-16, 16-21 kepada Yu Chen-Xuan Yi dalam satu lagi aksi Kumpulan A.