SEBELUM memulakan aksi di Sukan Olimpik Paris 2024, beregu lelaki negara nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengidam untuk menguji kekuatan dengan pencabar utama dunia sebagai persiapan akhir ke Temasya Paris.

Pasangan nombor empat dunia itu dijadual menyertai sekurang-kurangnya tiga kejohanan, sebelum temasya di Paris bermula iaitu Masters Malaysia dari 21 hingga 26 Mei diikuti Terbuka Singapura (28 Mei hingga 2 Jun) dan Terbuka Indonesia (4 hingga 9 Jun).

Dijangkakan saingan Terbuka Indonesia yang paling hampir dengan penganjuran Olimpik Paris, akan menghimpunkan semua pasangan utama dunia kerana berstatus Jelajah Dunia Super 1000.

Bekas juara dunia itu perlu menghasilkan keputusan positif dalam ketiga-tiga kejohanan terbabit, dengan sekurang-kurangnya kekal berada dalam kelompok empat terbaik dunia bagi mendapat kedudukan selaku pilihan di Olimpik Paris nanti.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan badi kekalahan kepada gandingan nmbor 1 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada kempen Piala Thomas lalu.

Aaron, berkata masih banyak lagi ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan bagi meningkatkan prestasi mereka.

“Sekarang, prestasi kami perlahan-lahan meningkat tetapi kami belum mencapai kemuncak lagi.

“Kami masih ada beberapa kejohanan lagi untuk disertai dan berharap dapat menentang pasangan utama dunia. Jadi, kami boleh buat persiapan sebelum Olimpik.

“Sebelum temasya bermula, ada tempoh rehat empat hingga enam minggu, jadi penting untuk kami kekalkan momentum dan suasana beraksi dalam kejohanan,” katanya.

Aaron-Wooi Yik yang membantu skuad negara meraih pingat gangsa pada saingan Piala Thomas di Chengdu yang berakhir, Ahad lalu berjaya menamatkan badi kekalahan di tangan pasangan nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang ketika aksi separuh akhir.

Pada aksi berkenaan, Aaron-Woo Yik menang dalam pertarungan tiga set 15-21, 21-12, 21-17 sekali gus menamatkan badi kekalahan di tangan Wei Keng-Wang Chang selepas tewas dalam tiga pertemuan terakhir sebelum itu.

Pada Temasya Olimpik Tokyo, Aaron-Wooi Yik mencipta kejutan memenangi pingat gangsa.