BILA pula nak dapat gelaran kedua!

Persoalan itu yang dijangkakan Aaron Chia daripada peminat selepas ini, setelah dia dan Soh Wooi Yik akhirnya menamatkan badi gelaran Jelajah Dunia, dengan merangkul kejuaraan sulung di Terbuka Denmark.

Selepas kira-kira enam tahun bergandingan sehingga merangkul kejuaraan di Kejohanan Dunia tahun lalu, ketiadaan gelaran pada saingan Jelajah Dunia sering menjadi ‘kecacatan’ dalam pencapaian mereka.

“Apa yang kami dapat hari ini menjadi bukti bahawa kami perlu ada kepercayaan diri, jangan pernah mengalah biarpun lima enam tahun bergandingan.

“Sepanjang kami bersama, sentiasa memburu gelaran Jelajah dunia,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan akhir Terbuka Denmark, yang menyaksikan mereka menang ke atas Muhammad Sohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia 21-13, 21-17.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhirnya meraih gelaran Jelajah Dunia pertama dengan menjuarai Terbuka Denmark 2023.

Kemenangan itu disifatkan sebagai motovasi terbesar mererka dan Aaron mula percaya, lebih banyak kejayaan mampu dicapai selepas ini.

“Total relief, tiada lagi persoalan dalam diri bilakah nak dapat gelaran Jelajah Dunia, mungkin persoalan selepas ini adalah, bila pula nak dapat gelaran kedua.”

Bagi Wooi Yik, kejayaan mereka itu bagaikan tidak nyata, “Akhirnya…. Saya masih tak percaya kami dapat champion dan hari ini adalah harinya.

“Tentu amat menggembirakan selepas banyak final kami masuk namun masih gagal mendapatkan gelaran, mungkin inilah prosesnya.”

Selepas terkandas seawal pusingan pertama Terbuka Arctic minggu lalu, gandingan nombor empat dunia itu dijadual beraksi di Terbuka Perancis yang bermula esok dan diundi menentang Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia, pada pusingan pertama.