TERLEPAS aksi final sekali lagi, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tetap berpuas hati dengan prestasi mereka di Kejohanan Badminton Asia (BAC).
Bekas juara dunia itu tewas di tangan rakan sepasukan, Hoh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menghuni kedudukan ke-19 dunia 14-21, 18-21 pada aksi separuh akhir Pusat Sukan Olimpik Ningbo di China, semalam.
Menurut Aaron, dia tidak terlalu kecewa di atas kekalahan berkenaan sebaliknya percaya dia dan Wooi Yik berada di landasan tepat terutama menjelang saingan Piala Thomas, hujung bulan ini.
“Pertamanya, saya ingin ucapkan tahniah kepada Izzuddin-Sze Fei kerana bermain dengan sangat baik. Ia sentiasa sukar apabila menentang rakan sepasukan.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi kami di Ningbo, sangat positif,” kata Aaron berjaya melangkah ke final bersama Wooi Yik pada edisi 2022 di Filipina.
Mengulas mengenai peningkatan ditunjukkan beberapa beregu lelaki negara sejak kebelakangan ini termasuk Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian, Aaron, berkata: “Saya pernah katakan sebelum ini, kami bermain secara bersama dan kami berkembang bersama sebagai satu pasukan.
“Peningkatan beberapa beregu ini membuktikan kerja keras yang dilakukan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) mula menunjukkan hasil terutama membabitkan acara beregu lelaki.
“Ia sesuatu petanda yang positif terutama menjelang saingan Piala Thomas,” katanya.
Sepanjang tahun ini, semua kejohanan disertai Aaron-Woo Yik berakhir dengan sekurang-kurangnya suku akhir, iaitu di Terbuka Malaysia dan Terbuka Perancis, separuh akhir Terbuka India dan BAC sertanaib juara Seluruh England.
Pada saingan Piala Thomas di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini, Malaysa diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking nombor lima dunia menjadi wakil tunggal negara dalam acara beregu lelaki layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.