ABANG kepada pemain terkenal Manchester United Marcus Rashford, Dane Rashford didakwa telah memukul muka teman wanitanya selepas mendapati kekasihnya mesej teks dengan lelaki lain, menurut laporan polis Florida yang diperoleh oleh DailyMail.com.

Mereka menginap di Hotel Kimpton Angler di Pantai Miami di mana kakitangan melihat seorang wanita berjalan melalui lobi dengan hidung berdarah pada awal pagi 20 Oktober. Apabila pegawai tiba di bilik pasangan kekasih itu menginap, mereka mendengar ‘pergaduhan lisan’ antara lelaki dan perempuan yang dipercayai sebagai Rashford dan Andrea Pocrnja, ibu kepada anak mereka yang berumur 14 bulan.

Laporan tersebut mengatakan Rashford ‘memeriksa telefon mangsa dan menemui mesej teks dari kekasihnya dengan lelaki lain. Lelaki yang ditangkap mengaku telah menolak mangsa semasa mereka berada di dalam Uber.

Mangsa menyatakan bahawa lelaki yang ditangkap memukul wajahnya dua kali dan keluar dari Uber dengan telefon mangsa. Setelah mangsa berada dalam bilik hotel mereka, lelaki yang ditangkap memasuki bilik hotel dan pergaduhan lisan tercetus.

Mangsa sedang berhubung dengan kaunter depan untuk mendapatkan kata laluan Wi-Fi namun lelaki yang ditangkap menganggap mangsa sedang menelefon polis dan pergaduhan fizikal bermula.

Laporan tersebut mengatakan bahawa adik Rashford, Chantelle Maynard, sedang menjaga anak kecil pasangan itu dan kedua-duanya berada di bilik hotel ketika pergaduhan berlaku tetapi tidak melihat abangnya memukul mangsa pada bila-bila masa.

Rashford telah ditahan pada 3.30 pagi manakala Pocrnja yang telah berhubungan selama empat tahun dengan Rashford dan berkongsi rumah di Wilmslow dibawa ke bilik hotel yang lain kerana dia merasa ‘tidak selamat’.

Nombor telefon yang disenaraikan dalam dokumen penangkapan untuk Rashford, yang dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak $1,500 (RM7,038.75), telah dinyahaktifkan apabila DailyMail.com cuba menghubunginya.

Rashford diberi arahan ‘Perintah Menjauhkan Diri’ dan dilarang berhubung dengan mangsa. Dia mengemukakan permohonan bertulis tidak bersalah terhadap kesalahan keganasan rumah tangga dan dijadualkan untuk hadir ke mahkamah pada 27 November.

Menurut rekod polis Miami-Dade County, bayaran ikat jamin Rashford telah dibayar oleh Chantelle Maynard seminggu selepas penahanannya. Penolong Pendakwa Negeri bagi Miami Dade County, Daysi Vega-Mendez memberitahu The Telegraph bahawa mereka tidak pasti sama ada Dane masih berada di Amerika Syarikat (AS).

“Kes ini masih aktif, pada masa ini saya tidak dapat menghubungi mangsa. Pejabat kami cuba menghubungi Kedutaan UK kerana kami memerlukan kebenaran untuk berbual dengan mangsa.”

“Saya tidak pasti sama ada mereka masih berada di AS atau sudah meninggalkan negara itu. Saya faham mereka sedang bercuti. Pada dasarnya, setelah dituduh, anda sepatutnya tidak meninggalkan negara,” ujarnya.

Rashford membesar di kawasan Wythenshawe di Manchester bersama-sama dengan abang Dwaine, Dane, dan adik-adik perempuan Chantelle, Claire dan Tamara.

Berita mengenai penangkapan ini telah tersebar selepas kekalahan 4-3 Manchester United menentang Copenhagen dalam Liga Juara-Juara, di mana Rashford diusir keluar padang pada minit ke-42 kerana bermain terlalu kasar.

Pemain penyerang MU itu menjadi tajuk utama minggu lalu kerana pengurusnya, Erik Ten Hag memaklumkan bahawa keputusan Rashford untuk pergi ke kelab malam menyambut ulang tahunnya sejurus kekalahan derby Manchester tidak dapat diterima.