MAJLIS Sukan Negara (MSN) menerima Ketua Pengarah yang baharu bagi menggantikan Datuk Ahmad Shapawi Ismail, apabila Abdul Rashid Yaakub, diumumkan untuk mengisi kekosongan kerusi itu.

Abdul Rashid yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) akan memulakan tugas baharunya bermula hari ini.

“Pertama sekali, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, KBS, ahli lembaga pengurus MSN kerana melantik saya sebagai Ketua Pengarah MSN selepas mantan Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyerahkan watikah pelantikan sebagai Ketua Pengarah MSN kepada Abdul Rashid Yaakub.

“InsyaAllah, saya akan bersama dengan semua pegawai dan anggota, cuba melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ini supaya dapat mempertingkatkan lagi prestasi sukan di negara kita dan memberi cabaran yang tinggi di peringkat antarabangsa.

“Kita akan membuat perancangan, berbincang bersama-sama dan akan melaksanakan perubahan. Yang mana sudah elok akan diteruskan dan mungkin akan ditambah baik di sana sini.

“Saya akan menggunakan pengalaman 35 tahun di MSN untuk membantu MSN dari segi pentadbiran secara keseluruhan dan pembangunan sukan,” kata Abdul Rashid dalam satu hantaran video disediakan MSN.

Abdul Rashid Yaakub berpengalaman sebagai penjawat awam selama 35 tahun.

Abdul Rashid, 59, memegang kelulusan tertinggi ijazah sarjana pentadbiran perniagaan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2009 dan memulakan tugasnya di MSN sebagai Ketua Unit Kewangan dari 1988 sehingga 2002.

Beliau kemudian diamanahkan memegang jawatan Pengarah Cawangan Kewangan dari 2003 hingga 2006 sebelum diangkat sebagai Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan (2007-2017).

Selepas itu, Abdul Rashid yang berasal dari Sungai Petani, Kedah memegang jawatan Pengarah Bahagian Korporat dari 2018 hingga 2019 sebelum diberikan tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) dari 2020 hingga 2023.

Ahmad Shapawi yang menginjak usia persaraan pada hujung September lalu, dikatakan tidak bercadang untuk melanjutkan kontraknya atas faktor kesihatan.

Info

Biodata Ketua Pengarah MSN

Nama: Abdul Rashid Yaakub

Tarikh lahir: 1 April 1964 (59 tahun)

Asal: Sungai Petani, Kedah

Kelulusan tertinggi: Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Utara Malaysia (2009)

Tempoh perkhidmatan: 35 tahun

Tahun lantikan ke MSN: 1 Julai 1988

Penempatan

1988 – 2002 – Ketua Unit Kewangan

2003 – 2006 – Pengarah Cawangan Kewangan

2007 – 2017 – Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan

2018 – 2019 – Pengarah Bahagian Korporat

2020 – 2023 – Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan)