KEPUTUSAN Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2023 yang diumumkan semalam oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah menyaksikan pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dinobatkan sebagai pemain paling bernilai (MVP) buat kali ketiga berturut-turut.
Kemenangan hatrick itu membuatkan pemain yang berasal dari Pahang itu menyamai rekod yang dicipta oleh Norshahrul Idlan Talaha yang juga turut mencipta kemenangan hatrick ketika bermain bersama Kelantan FC pada 2010 hingga 2012.
Ia sememangnya merupakan malam yang cukup indah buat pemain berusia 22 tahun itu apabila turut memenangi Anugerah Penyerang Terbaik dan Anugerah Pemain Muda Terbaik, kedua-duanyajuga merupakan kemenangan hatrick beliau.
Beliau turut memenangi Anugerah Gol Terbaik dan Anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan, berkongsi anugerah tersebut dengan pemain Selangor FC, Faisal Halim.
Keputusan lain menyaksikan dominasi daripada pemain JDT yang memenangi kategori masing-masing.
Syihan Hazmi kekal sebagai pemenang Anugerah Penjaga Gol Terbaik untuk kali kedua berturut-turut, Afiq Fazail memenangi Anugerah Pemain Tengah Terbaik dan Bergson Da Silva pula memenangi Anugerah Pemain Import Terbaik manakala Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik dirangkul oleh pemain Terengganu FC, Azam Azmi Murad.
Tan Cheng Hoe juga turut mendapat pengiktirafan apabila memenangi Anugerah Jurulatih Terbaik hasil lelahnya membawa pasukan The Red Giants ke AFC Champions League 2 musim ini.
Keputusan penuh daripada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK 2023) dinyatakan dibawah :
1) Pemain Paling Bernilai (MVP) – Arif Aiman Hanapi (JDT FC)
2) Pemain Penyerang Terbaik – Arif Aiman Hanapi (JDT FC)
3) Pemain Tengah Terbaik – Afiq Fazail (JDT FC)
4) Pemain Pertahanan Terbaik – Azam Azmi Murad (Terengganu FC)
5) Penjaga Gol Terbaik – Syihan Hazmi (JDT FC)
6) Pemain Import Terbaik – Bergson Da Silva (JDT FC)
7) Pemain Muda Terbaik – Arif Aiman Hanapi (JDT FC)
8) Penjaring Terbanyak Liga Super – Ayron De Valle (Selangor FC)
9) Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super – Arif Aiman Hanapi (JDT FC) & Faisal Halim (Selangor FC)
10) Penjaring Terbanyak Piala MFL – Ebenezer Assifuah (Kedah B)
11) Pemain Terbaik Piala MFL – Ubaidullah Shamsul Faizi (Terengganu II)
12) Anugerah Jurulatih Terbaik – Tan Cheng Hoe (Selangor FC)
13) Anugerah Fairplay – Terengganu FC
14) Anugerah Pasukan Terbaik – JDT
15) Gol Terbaik – Arif Aiman Hanapi (lawan Perak FC [Separuh Akhir 1 – Piala Malaysia])
Tahniah dan syabas daripada kami FLASH SUKAN diucapkan kepada semua pemenang-pemenang anugerah semalam. Terus lakukan yang terbaik demi bola sepak tempatan.
Majulah bola sepak untuk negara.