STATUS penjaga gol nombor satu dalam Liga Malaysia kini semakin hangat diperkatakan apabila calon tiga terakhir Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) untuk posisi itu diumumkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semalam.

Antara calon pilihan untuk memenangi anugerah  itu ialah penjaga gol Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Ahmad Syihan Hazmi.

Syihan antara pilihan utama memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik. (Sumber Gambar: FB Johor Southern Tigers)

Syihan menjadi benteng terakhir yang sempurna di dalam skuad yang sempurna di kala beliau menggantikan tempat penjaga gol No. 1 kelab itu daripada penjaga gawang legenda kelab, Farizal Marlias.

Beliau mencatat 19 clean sheets dan 27 shots saved dalam 24 penampilan liga dan hanya bolos tujuh gol sahaja musim lalu yang juga merupakan musim pertamanya bersama pasukan Harimau Selatan.

Syihan membantu kelabnya untuk merangkul empat piala iaitu Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Suhaimi berjaya membawa Terengganu FC ke final Piala Malaysia musim lalu. (Sumber Gambar: FB Terengganu FC)

Calon kedua yang menjadi pilihan untuk anugerah ini ialah penjaga gol Terengganu FC (TFC), Suhaimi Husin.

Suhaimi berjaya mengekalkan statusnya sebagai penjaga gol no 1 kelab itu ekoran prestasi tidak menentu daripada penjaga gol muda TFC, Rahadiazli Rahalim.

Beliau berjaya mencatat 8 clean sheets dan 51 shots saved, terbanyak dalam kalangan tiga calon penjaga gol serta bolos 21 gol dalam 18 penampilan liga musim lalu.

Dia yang juga berasal dari Terengganu itu telah berjaya membawa pasukan ke kedudukan ke-6 liga serta membawa pasukan ke perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum tunduk kepada juara, JDT FC.

Ramadhan antara tunjang utama pasukan PDRM FC musim lalu.

Calon ketiga dan terakhir ialah penjaga gol PDRM FC, Ramadhan Hamid.

Ramadhan yang juga merupakan bekas penjaga gol Harimau Muda, Kelantan FC, Kedah Darul Aman FC, Kelantan Darul Naim FC dan UiTM United telah mempamerkan aksi yang cemerlang bersama pasukan The Cops.

Beliau antara tunjang utama kelab itu mampu tunjukkan prestasi baik di dalam kalangan semua kelab yang dipromosikan dari Liga Premier.

Ramadhan berjaya mencatat 7 clean sheets dan 38 shots saved serta bolos 13 gol dalam 15 penampilan liga.

Beliau berjaya membawa pasukan itu ke kedudukan ke-8 liga serta menjuarai Challenge Cup musim lalu.

Penonton boleh sama-sama menonton siaran langsung pengumuman tersebut hanya melalui saluran Astro Arena 801.

Sama-sama kita nantikan siapakah pemenang bagi kategori ini untuk tahun ini!