KATEGORI pertahanan terbaik dalam Liga Malaysia musim 2023 terus diperhatikan oleh penyokong apabila tiga calon terakhir Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) untuk posisi itu diumumkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semalam.

Antara calon pilihan untuk memenangi anugerah  itu ialah pemain pertahanan kiri Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), La’Vere Corbin-Ong.

Corbin merupakan antara pemain The Southern Tigers yang mewujudkan benteng yang cukup ampuh apabila bertemu dengan mana-mana pasukan yang mempunyai pemain serangan yang berkualiti.

Corbin-Ong mengharungi saingan liga musim lalu tanpa mendapat kad kuning! (Sumber Gambar: FB Johor Southern Tigers)

Untuk rekod sepanjang tahun lepas, Corbin telah melakukan 23 fouls tanpa mendapat mendapat sebarang kad kuning! Dia juga telah memenangi 12 fouls untuk pasukan serta menjaringkan 4 gol dan 2 gol bantuan dalam 20 penampilan liga musim lalu.

Selain Corbin-Ong, seorang lagi pertahanan tengah muda JDT FC, Feroz Baharuddin telah tersenarai pendek sebagai calon pertahanan terbaik.

Feroz merupakan prospek masa hadapan pasukan untuk menggantikan tempat Aidil Zafuan. (Sumber Gambar: FB Johor Southern Tigers)

Dilihat sebagai prospek masa hadapan pasukan, Feroz mengukuhkan tempatnya di dalam kesebelasan utama selepas Shahrul Saad ditimpa kecederaan dan sering digadingkan bersama Jordi Amat untuk mengekalkan kekuatan pertahanan pasukan dari selatan tanah air itu.

Feroz telah melakukan 24 fouls serta mendapat 3 kad kuning. Dia juga berjaya memenangi 9 fouls untuk pasukan serta menjaringkan 2 gol dan 1 gol bantuan dalam 23 penampilan liga. Beliau dan Corbin antara faktor mengapa JDT FC hanya dibolosi 7 gol sahaja musim lalu.

Calon ketiga dan terakhir ialah pemain pertahanan kanan muda Terengganu FC, Azam Azmi Murad.

Azam satu-satunya calon kategori ini yang tidak bermain bersama pasukan JDT. (Sumber Gambar: FB TFC)

Azam telah bermain di dalam kesebelasan utama secara konsisten sejak 2021 lagi namun musim lalu merupakan musim terbaik beliau dalam karier awalnya sebagai pemain profesional.

Persembahan pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu telah membuka mata ramai pihak dan beliau merupakan pemain terpenting dalam bahagian pertahanan  pasukan Terengganu FC.

Dia telah melakukan 14 fouls, paling sedikit antara tiga pemain yang tercalon dan mendapat mendapat tiga kad kuning. Azam juga telah memenangi 11 fouls untuk pasukan serta membuat 2 gol bantuan dalam 21 penampilan liga musim lalu.

Penonton boleh sama-sama menonton siaran langsung pengumuman tersebut menerusi saluran Astro Arena 801.

Sama-sama kita nantikan siapakah pemenang bagi kategori ini untuk tahun ini!